Menurut cerita masyarakat Batak yang tinggal di sekitar Danau Toba, dahulu Danau Toba adalah kawasan yang gersang dan tandus. Rata rata penduduknya hidup miskin. Di sana tinggal seorang pemuda bernama Luhut, seorang anak yatim piatu yang menyara hidup dengan bertani. Untuk mengisi waktu kelapangan, Luhut sering menjala dan memancing di kuala sungai.
Suatu hari, Luhut pergi menangkap ikan. Namun sehingga petang beliau tidak memperoleh seekor ikan pun. Sewaktu hendak berkemas pulang, Luhut terlihat seekor ikan besar berwarna kuning emas yang indah di dalam sungai. Luhut terus melebarkan jalanya dan berjaya menangkap ikan tersebut. Sesampainya di rumah, Luhut tidak sampai hati hendak memasaknya kerana kasihan. Dia menyimpan ikan tersebut di dalam bekas.
Keesokan harinya, Luhut pergi bertani di ladangnya seperti biasa. Ketika pulang ke rumah, dia sangat terkejut kerana melihat makanan telah sedia terhidang. Lama dia berfikir siapa yang menyediakan makanan untuknya. Kerana lapar, dia memakan dengan lahap makanan itu. Kejadian aneh ini berulang setiap hari. Lalu Luhut merancang untuk mengintip siapa yang terlalu baik menyediakan makanan untuknya. Suatu hari, apabila terlihat asap api dari dapur, dia menghendap untuk mengetahui siapakah gerangan orang yang memasak.
Alangkah terkejutnya Luhut ketika dilihatnya seorang wanita cantik sedang asyik menanak nasi di dapur. Luhut lalu masuk ke dalam rumahnya dan mendapati ikan yang ditangkapnya tempoh hari tiada di tempatnya. Dia bertanyakan wanita tersebut, “Adakah kau melihat ikanku?” Tanya Luhut dengan perasaan cemas. Mendengar pertanyaan Luhut, wanita tersebut menangis teresak esak. Luhut makin curiga. Setelah berkali kali ditanya, akhirnya wanita tersebut menjawab, “Sebenarnya akulah ikan itu.”
Alangkah terperanjatnya Luhut. Dia bagaikan tidak percaya. Seekor ikan menjelma menjadi wanita cantik. “Adakah ini benar?” tanya Luhut.
“Menang benar. Aku adalah ikan yang kau tangkap. Namaku Butet.” Jawab wanita tersebut.
Luhut tertarik dengan kecantikan wanita tersebut.
“Wahai Butet, aku di sini hidup keseorangan. Mahukan kau menjadi isteriku?” tanya Luhut.
Wanita tersebut diam.
“Kenapa kau membisu?”, tanya Luhut lagi.
Setelah sekian lama membisu, wanita tersebut menjawab, “Aku sudi menjadi isterimu, tetapi dengan satu syarat yang kau tak boleh mungkiri”, kata wanita itu.
“Apakah syaratnya?”
“Syaratnya ialah kau tidak boleh memberi tahu atau membuka rahsia bahawa aku adalah seekor ikan.”
“Baiklah,” jawab Luhut. Mereka pun berkahwin.
Luhut dan Butet hidup bahagia dan dikurniakan dengan seorang anak yang diberi nama Tigor. Tigor akan membantu menghantarkan makanan kepada Luhut ketika Luhut berkerja di ladangnya.
Suatu hari, sewaktu dalam perjalanan menghantar makanan kepada Luhut, Tigor berasa lapar. Dia membuka bungkusan makanan ayahnya dan memakannya dengan lahap sekali sehingga yang tinggal hanya tulang ikan sahaja. Setelah selesai memakannya, Tigor membungkus semula sisa makanan tersebut dan menghantar kepada Luhut.
Bukan kepalang marah Luhut apabila mengetahui makanannya hanya tinggal sisa tulang. Didorong oleh rasa marah, Luhut tanpa sengaja telah melanggar sumpahnya dengan berkata,
“Memang engkau ini dasar anak ikan!” kata Luhut sambil menghayunkan tangan ke pipi anaknya Tugor.
Tugor berlari lari pulang ke rumah. Sambil menangis, dia bertanya kepada ibunya, “Ibu, betulkah aku ini anak seekor ikan?”
Butet sangat terkejut. Suaminya telah melanggar sumpah janjinya.
Ketika itu juga, langit mula bertukar gelap. Kilat sabung menyabung. Petir sambar menyambar. Suasana semakin cemas. Kemudian, diikuti dengan hujan lebat dan badai yang bergelora. Butet dan Tigor hilang dari pandangan. Dari bekas tapak kaki mereka muncul mata air yang mengeluarkan air yang deras. Air itu terus mengalir sehingga seluruh kawasan tenggelam menjadi sebuah tasik atau danau. Danau itu digelar Danau Tuba, yang bermaksud danau yang tak tahu mengenal kasih. Lama kelamaan, nama Tuba berubah menjadi Toba. Sehingga kini, danau tersebut digelar Danau Toba.
Danau Toba terkenal dipelusuk dunia sehingga ke hari ini dan ramai yang telah melawat tempat tersebut mengakui Danau Toba sebagai tasik yang tercantik di dunia.
More Information:
WhatsApp: +62 812 6433 2925
Tidak ada komentar:
Posting Komentar